9 Tips Perjalanan Balik Kampung Bagi Ibu Hamil

10:00 AM

Assalamualaikum wbt.

Akak pasti semuanya teruja nak balik kampung menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tak lama saja lagi ni. Mesti tak sabar-sabar nak balik kampung berjumpa ayah bonda dan keluarga. Akak pun tak terkecuali. Tak sabar juga ni. :-)

Bagi adik-adik yang sedang hamil atau baru melahirkan bayi, buatlah perancangan perjalanan balik kampung sebaiknya. Jangan sehingga terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada tempoh yang lama. Sebab ada risikonya.

Risiko perjalanan jauh pada ibu hamil di usia kandungan awal dan akhir, sekitar 3 bulan pertama dan 34 minggu ke atas. Ibu hamil pada usia kandungan begini tidak digalakkan berjalan jauh terutamanya perjalanan yang mengambil masa berjam-jam dan keadaan jalan yang tidak rata. Risikonya mungkin kelahiran pramatang.

Jadi akak nak kongsi tips perjalanan balik kampung bagi ibu hamil agar perjalanan pergi dan balik lancar dan selamat. Insya Allah.

1. Rancang waktu perjalanan. Sebaiknya balik awal supaya tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk.

2. Dapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi memastikan ibu hamil cergas dan tidak terlalu letih sepanjang perjalanan. 

3. Baju yang selesa, tidak ketat dan longgar. Kita sedia maklum ibu hamil terutama yang di akhir kandungan tidak sesuai lagi memakai baju kurung. Sebaiknya pakailah baju yang selesa.

4. Bawa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi. Sekiranya berpuasa, sebaiknya ambil oat dan kurma semasa bersahur untuk memberikan tenaga dan menghindarkan rasa letih sepanjang perjalanan. Elakkan minuman berkabonat.

5. Apabila berada dalam keadaan duduk yang lama, letakkan bantal kecil di belakang badan dan cuba lunjurkan kaki. Ini untuk mengurangkan kaki menjadi bengkak juga memperbaiki peredaran darah.

6. Pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan telah diservis sebelum memulakan perjalanan jauh.

7. Berhenti di R&R bila perlu untuk lakukan senaman regangan dan dapat berdiri kerana telah duduk terlalu lama.

8. Sebaik-baiknya elakkan penggunaan kenderaan awam seperti bas dan keretapi. Kapal terbang pun tidak digalakkan apabila kandungan sudah masuk ke minggu 37 ke atas.

9. Membawa ubat atau supplemen yang dibekalkan oleh doktor - untuk atasi muntah-muntah dan mabuk. Jangan lupa bawa sekali buku merah jambu sekiranya terjadinya kompilasi semasa beraya di kampung, mudah untuk doktor memahami keadaan kandungan kita sebenar.

Diharapkan dengan tips ini, ibu-ibu hamil dapat balik kampung dengan senang hati. Semoga perjalanan adik-adik balik ke kampung sentiasa dilindungi Allah. Selamat pulang ke kampung!

You Might Also Like

3 comments