Selamat Datang 2015. Nilai Diri dan Resolusi

10:00 AM

Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera.

Masuk tahun baru 2015 dengan berita yang menyedihkan seperti banjir di Pantai Timur dan pesawat AirAsia yang terhempas. Satu demi satu berita sedih dalam 2014 lepas, rakyat Malaysia telan dengan tabah.

Walaupun air mata berderai-derai bila tengok berita, gambar-gambar di FB dan media sosial yang lain. Tangis ahli keluarga mangsa, peritnya dugaan dapat dirasa sama.

Mungkin saya ni emotional sangat. Tapi jiwa saya benar-benar tersentuh. Semoga Allah permudahkan dan ringankan penderitaan mereka.

Ingat. Kena ingat. Allah turunkan dugaan, Allah beri ujian sebab sayang. Sayang pada hambaNya, mahu hambaNya kembali padaNya dengan sebanyak-banyak doa. Insya Allah, Dia Maha Berkuasa, Maha Besar, Maha Pengasih dan Maha Penyanyang. Insya Allah, Dia beri kebahagiaan di akhirnya. Insya Allah.

:-)

Lalu kita teruskan hidup dan wajiblah kita bersyukur atas udara dan nafas ini. Allah masih beri peluang pada kita untuk beribadah dan beramal sebanyaknya atas lafaz Bismillah.

Kerja jua satu ibadah. Membesarkan anak jua satu ibadah.

Alhamdulillah. Syukur pada Mu Allah.

Pada saya, tinggalkan tahun 2014 dengan kenangan manis atas kelahiran anak ketiga saya pada bulan Jun. Alim dah 6 bulan, masih menyusu badan sepenuhnya, Alhamdulillah. Baru-baru saja ni saya perkenalkan solid food. Organic oat blend halus-halus campur susu ibu. Dia makan sikit-sikit. Tak apa. Nak beri dia belajar makan saja, sementelah susu ibu masih buat dia kenyang. :-)

Apabila masuk tahun baru, orang selalu kaitkan dengan azam dan resolusi. Bukan apa, selalunya tahun baru, kita tutup buku lama buka buku baru, Jadi, dengan buku baru itu, kita iltizamkan dalam hati untuk buat yang terbaik dalam hidup kita. Sebagai titik permulaan untuk meneruskan hidup dengan azam dan matlamat menjadi lebih baik dari kita yang sebelum ini.

Membuat azam dan resolusi adalah perkara yang bagus dan baik. Kerana kita telah setkan hidup kita ada matlamat. Orang yang tiada matlamat dan cita-cita adalah manusia rugi dan hidup dalam keadaan sia-sia.

Apa yang perlu kita buat apabila kita ada azam, matlamat, cita-cita yang kita mahu capai pada tahun ini?

Pertama, nilai diri kita sebelum ini. Sebelum ini kita pemalu, tahun ini kita mahu jadi berani, berkeyakinan tinggi dan ada pendapat sendiri.

Kedua, matlamat yang jelas. Jika kita punya azam untuk dicapai pada tahun ini. Kena ada matlamat yang jelas. Katalah kita berazam mahu turunkan berat badan. Jangan hanya cakap, saya nak kurus. Tu je. Tidak jelas.

Untuk matlamat yang jelas, kita perlu tetapkan, saya nak turunkan berat badan sebanyak 12kg tahun ini. Itu matlamat jangka masa panjang (setahun). Kita pecahkan target dalam jangka masa pendek pula. Saya nak turunkan berat badan 1kg setiap bulan dalam masa setahun

Ketiga, rancangan untuk mencapai matlamat. Apabila matlamat kita jelas, seperti mahu turunkan 1kg setiap bulan, kita buat rancangan macam mana nak turunkan berat badan 1kg sebulan. Senaman 30minit tiap-tiap hari ke, makan makanan takde minyak ke. sapu slimming gel ke, dan sebagainya yang mana sesuai untuk kita.

Keempat. Buat bersungguh-sungguh. Sediakan jadual waktu dan to-do list jika perlu. Istiqomah.

Dan kelima. Doa. Doa pun kena jelas. Doa supaya dipermudahkan. Doa supaya kita kuat untuk istiqomah. Mohon pada Allah semoga apa yang kita mahukan tercapai. Bersangka baik dengan Allah. Jangan cakap, tak kan Allah nak makbulkan. Jika kita sangka begitu, begitulah yang akan kita dapat. Apa-apa usaha tanpa doa, apalah ertinya, ye tak?

Itu sajalah yang saya mahu kongsi sempena tahun baru 2015 ini. Semoga tahun ini memberi lebih banyak kebaikan dan semoga azam dan impian kita tercapai. Semoga Allah permudahkan kita semua. Amin.

Salam sayang dari mama amyz. xoxo
013 713 0042